Tuesday, April 5, 2016

JURNAL (5/4/2016)

Hariku dikejutkan dengan suara sebatan yang dihayun oleh Ustaz Khair. Seperti biasa, Ustaz Khair akan berhempas-pulas dengan mengetuk setiap pintu bilik pelajar muslim yang terdapat di Blok C dan Blok D untuk bangkit dan menunaikan ibadah wajib iaitu Solat Subuh. Begitulah rutin hariannya setiap pagi. Jarum jam telah menunjukkan nombor enam dan jarum minit menunjukkan nombor lima menandakan  iqamah akan dilaungkan oleh muazin sebentar sahaja lagi selepas Ustaz Khair habis solat sunat rawatib. Selesai menunaikan Solat Subuh, Al-Matsurat akan dibaca bersama-sama sebelum keluar dari surau.

Destinasi pertamaku setelah selesai membaca Al-Matsurat adalah Dewan Makan, tempat makanan dihidangkan untuk para pelajar. Menu sarapan pada  pagi ini adalah nasi lemak dan air milo. Barisan mengambil makanan yang agak panjang memaksa diriku untuk duduk dahulu di meja dan menjamah bijirin bersama susu. Apabila melihat rakan-rakanku yang baru sahaja tiba di meja makan, dengan haruman nasi lemak yang enak, dan perutku yang berkeroncong kelaparan, aku memaksa diriku untuk berdiri di bahagian belakang barisan untuk mengambil makanan. Selesai mengambil makanan, aku ke meja makanku semula untuk menikmati sajian yang telahku ambil. Walaupun sambal yang aku ambil hanya sedikit, namun bagiku ia sudah cukup untuk membuatku kepedasan.

Baju yang aku pakai pada hari ini berwarna ungu dan berbelang disertakan dengan tali leher berwarna biru gelap. Kelas pembelajaranku berjalan seperti hari-hari biasa. Waktu rehatku diisi dengan Solat Zohor dan merehatkan mata bagi mengelakkan kepenatan ketika kelas pada petang hari. Selesai Solat Zohor, aku menghempaskan badanku ke katil yang bolehku kira empuk. Aku terlena dibuai mimpi. Mujur telefon pintarku berbunyi menandakan waktu persekolahan sesi petang telah bermula, aku tersedar lalu mempercepatkan pergerakanku untuk bersiap dan pergi ke kelas.

No comments:

Post a Comment